fbpx

16 Bangunan Bersejarah di Malaysia | Alami Keunikan Peninggalan Penjajah

Malaysia sememangnya sebuah negara yang menarik untuk dilawati kerana memiliki pelbagai tempat bersejarah kesan daripada dijajah suatu ketika dahulu. Bangunan bersejarah di Malaysia boleh dikatakan ada hampir di setiap negeri dan ianya mempunyai kesan tinggalan sejarah tersendiri terutamanya ketika pendudukan Jepun dan British di Tanah Melayu.

Kebanyakan kesan ini dapat dilihat dari segi reka bentuk struktur bangunan-bangunan lama yang mengetengahkan ciri-ciri Inggeris, Timur Tengah dan bermacam-macam lagi.

16 Bangunan Bersejarah di Malaysia Yang Menarik Peninggalan Penjajah

Artikel kali ini akan berkongsi tempat-tempat menarik yang boleh anda lawati untuk melihat sendiri bangunan-bangunan bersejarah yang terdapat di Malaysia.

1. Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Bersejarah di Malaysia Bangunan Sultan Abdul SamadDibina pada tahun 1893, Bangunan Sultan Abdul Samad merupakan salah satu mercu tanda Kuala Lumpur pada suatu ketika dahulu sebelum terbinanya Menara Berkembar KLCC. Bangunan yang mempunyai 3 buah kubah dengan ciri seni bina Islam ini pada awalnya merupakan sebuah Pejabat Baru Kerajaan yang menempatkan semua jabatan pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu sebelum bertukar menjadi Sekreteriat Persekutuan selepas terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu.

Sehingga hari ini, bangunan bersejarah di Malaysia ini masih lagi menjadi tumpuan orang ramai terutamanya ketika sambutan Tahun Baru dan Hari Merdeka.

2. Muzium Telekom

Bangunan Bersejarah di Malaysia Muzium Telekom

Foto Kredit: mdfaiez84.com

Bagi anda yang berminat untuk melihat sejarah perkembangan dunia telekomunikasi di Malaysia anda bolehlah membuat lawatan ke Muzium Telekom ini. Bangunan yang bertempat di Jalan Raja Chulan ini dibuka setiap hari kepada orang awam dengan bayaran sebanyak RM6 untuk pelawat dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.

Terdapat 6 buah galeri pameran yang terdapat di dalam muzium ini yang mana anda boleh melihat sendiri peralatan telekomunikasi yang digunakan semasa peperangan serta perkembangan sistem kod Morse di Tanah Melayu.

3. Rumah Api Tanjung Tuan

Rumah Api Tanjung Tuan

Foto Kredit: orangnogori.com

Kedudukannya yang agak tersorok dan dikelilingi hutan simpan ini amat sesuai untuk anda yang gemarkan sedikit cabaran. Dibina oleh pihak Belanda pada tahun 1817, Rumah Api Tanjung Tuan ini merupakan rumah api tertua yang terdapat di Malaysia.

Bukan itu sahaja, lokasi bangunan bersejarah di Malaysia yang terletak di Port Dickson ini juga telah diwartakan sebagai santuari burung liar yang menyaksikan lebih lebih 50 jenis burung yang datang singgah di kawasan itu pada setiap tahun. Anda juga akan disajikan dengan pemandangan yang menarik di mana kedudukannya yang menghadap lautan Selat Melaka pasti akan memberi ketenangan kepada anda.

4. Muzium Sultan Abu Bakar (Pahang)

Muzium Sultan Abu Bakar Bersejarah di Pekan Pahang

Foto Kredit: mdanif.com

Istana Kota Beram atau kini dikenali sebagai Muzium Sultan Abu Bakar ini sememangnya kaya dengan tinggalan sejarah negeri Pahang. Bangunan 2 tingkat ini dahulunya diperbuat daripada kayu oleh pihak Inggeris sebelum digantikan dengan bahan binaan menggunakan batu.

Muzium yang mempunyai ciri-ciri kediaman Kolonel British ini mempamerkan kesan dan tinggalan sejarah serta kebudayaan tradisional negeri Pahang seperti gong, barangan perak, replika pesawat dan kenderaan ketenteraan.

5. The Stadhuys

Tempat Makan Best Di MelakaSekiranya anda berkunjung ke Bandar Hilir Melaka, pastinya anda akan melalui bangunan berwarna merah ini. Bangunan yang dibina pada tahun 1650 ini merupakan penempatan rasmi rasmi Gabenor dan Timbalan Gabenor Belanda.

The Stadhyus ini merupakan salah satu bangunan tertua yang dibina ketika pemerintahan Belanda di Melaka.  Sekiranya anda ke sini, anda juga boleh mengunjungi beberapa bangunan lain yang berhampiran dengannya seperti Gereja St. Paul, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bukit St. Paul dan lain-lain lagi.

6. Kellie’s Castle

Kellie Castle PerakKellie’s Castle ini sememangnya antara tarikan utama pengunjung yang datang bercuti ke negeri Perak. Istana lama milik William Kellie Smith yang merupakan seorang warga Scotland ini dikatakan dibina sebagai tanda cinta Smith kepada isterinya, Helen sebagaimana kisah cinta Shah Jehan kepada Mumtaz Mahal.

Pembinaan bangunan bersejarah di Malaysia ini bagaimanapun terhenti apabila istana ini dijual kepada Syarikat Harrisons & Crosfield setelah kematian Smith akibat penyakit radang paru-paru. Sehingga kini, masih terdapat lagi kesan sebahagian bangunan yang dibiarkan terbengkalai tanpa diteruskan oleh mana-mana pihak.

7. Istana Kenangan Kuala Kangsar

Pernah menjadi tempat persemayaman sementara Almarhum Sultan Iskandar pada tahun 1931 sehingga 1933, Istana Kenangan ini turut mempunyai nama yang lain iaitu Istana Lembah dan Istana Tepas. Istana ini mempunyai  keunikannnya yang tersendiri dengan menggunakan anyaman tepas sebagai dinding istana dan beratapkan kayu papan.

Istana yang dibina pada tahun 1926 ini kini dijadikan Muzium Diraja yang memaparkan artifak-artifak sejarah lama dan keagungan budaya bangsa Melayu pada masa dahulu.

8. Istana Lama Seri Menanti

Hotel Murah SerembanMerupakan ikon keluarga Diraja Negeri Sembilan, Istana Seri Menanti ini merupakan tempat persemayaman Yang di-Pertuan Negeri Sembilan pada suatu masa dahulu. Bangunan 4 tingkat yang bercirikan Minangkabau ini langsung tidak menggunakan sebarang paku besi dalam pembinaannya.

Bangunan ini bagaimanapun telah diwartakan sebagai Muzium Diraja pada tanggal 14 Julai 1992. Terdapat pelbagai jenis koleksi keluarga diraja yang dipamerkan di muzium ini untuk anda lawati dan lihat sendiri.

9. Istana Jahar (Muzium Diraja Negeri Kelantan)

Sekiranya anda berminat dengan sejarah kesultanan Negeri Kelantan, tempat ini pastinya akan memberikan anda gambaran yang jelas tentang susur galur budaya dan sejarah mereka. Terletak di Jalan Tengku Puteri, Kota Bharu, Muzium Diraja Negeri Kelantan ini memaparkan sejarah kesultanan negeri Kelantan dari zaman dahulu hinggalah kini.

Bagi memudahkan anda memahami sejarah negeri ini, pihak muzium telah membahagikan bangunan bersejarah di Malaysia ini kepada beberapa ruang pameran seperti sudut peralatan senjata, pameran pakaian tradisi serta hal berkaitan kesultanan negeri Kelantan. Bagi anda yang ingin melihat artifak-artifak serta gambar berkaitan sejarah peperangan Dunia Kedua, anda bolehlah melawati Muzium Perang Kelantan yang terletak di Jalan Sultan.

10. Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah Bersejarah

Foto Kredit: travel3sixty.com

Terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah ini merupakan salah satu daripada masjid tercantik yang terdapat di Malaysia. Keunikan kubahnya yang berwarna emas dengan kehalusan seni bina yang mengetengahkan  sentuhan Saracenic (Islam-India) ini menjadikan masjid berbentuk segi lapan ini lain daripada yang lain.

Dibuka secara rasminya pada tahun 1917 oleh Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasiruddin Shah, masjid ini masih berfungsi dan digunakan sehingga kini.

11. Masjid Putih (Masjid Besar/Abidin)

Bangunan Bersejarah di Terengganu Masjid Putih

Foto Kredit: emaze.com

Bagi anda yang ke Terengganu, jangan lepaskan peluang untuk singgah di Masjid Putih yang terletak di Kuala Terengganu. Dibina oleh Sultan Zainal Abidin II lebih 200 tahun lalu, bangunan bersejarah di Malaysia ini pada awalnya didirikan tanpa menggunakan sebarang tiang sehinggalah ia diubah suai sebanyak beberapa kali.

Dengan kehalusan serta keunikan seni ukiran khat, doa-doa dan awan larat yang terdapat pada atas pintu dan sisi masjid ini pasti memukau sesiapa sahaja yang berkunjung ke sana. Terdapat juga Makam-makam Diraja Lama milik Kesultanan Terengganu yang anda boleh lawati di kawasan ini.

12. Masjid Zahir

Masjiz Zahir Alor SetarTerletak di tengah-tengah Bandaraya Alor setar, kewujudan Masjid Zahir pasti memukau sesiapa sahaja yang berkunjung ke situ. Dengan seni ukiran halusnya yang menghiasi bahagian luar dan dalam masjid ini, ternyata membuatkan ianya kelihatan begitu indah sekali. Tambahan lagi, terdapat 5 buah kubah yang berdiri megah menghiasi masjid tertua di negeri Kedah ini sebagai menjunjung tinggi prinsip-prinsip Rukun Islam.

Dibina pada 11 Mac 1912 atas usaha YTM Almarhum Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah, kawasan ini pada asalnya merupakan tapak pusara wira-wira negara yang mempertahankan negeri Kedah dari serangan Siam. Selain itu, kedudukan masjid ini yang strategik membolehkan anda melaat ke bangunan-bangunan bersejarah yang lain disekitarnya.

13. Menara Condong

Menara Condong Teluk IntanSekali imbas, Menara Condong yang terletak di Teluk Intan, Perak ini seakan-akan menyerupai Menara Pisa di Itali. Dibina pada tahun 1892 dengan ketinggian mencecah 85 kaki, bangunan ini dahulunya dibina sebagai tangki simpanan air.

Bangunan 3 tingkat yang diilhamkan dari senibina pagoda di negara China ini turut dilengkapi sebuah jam besar yang bertindak sebagai jam penentu waktu (Time Keeper). Malah, jam tersebut masih berfungsi sehingga kini.

14. Kota A Famosa

Menarik Afamosa Melaka

Photo Kredit: tourism.com.my

A Famosa merupakan sebuah kubu yang dibina pada tahun 1511 setelah Portugis berjaya menawan Melaka. Walau bagaimanapun, pada tahun 1641, kubu ini telah mengalami kerosakan yang teruk akibat pencerobohan Belanda yang mana akhirnya berjaya mengusir Portugis dan mengubahsuai pintu gerbang kubu tersebut.

Kesan sejarah ini masih boleh dilihat sehingga kini sekiranya anda melawat ke kawasan ini di daerah Bandar Hilir, Melaka.

15. Muzium Diraja Negara

Bertempat di Jalan Istana, Kuala Lumpur, muzium ini merupakan bekas Istana Negara yang menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong sebelum diangkat menjadi Muzium Diraja Negara. Terdapat 22 bahagian yang anda boleh lawati di dalam istana ini merangkumi bahagian dapur, bilik bacaan, bilik tidur, bilik tetamu, klinik gigi, balairong seri, ruang makan dan bermacam-macam lagi.

Sebuah panggung wayang turut dibina di dalam kawasan ini sewaktu Sultan Ismail Petra (Kelantan) menjadi Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu. Muzium ini dibuka setiap hari kepada pengunjung dengan bayaran RM 5 bagi pelawat dewasa, RM2 untuk kanak-kanak berusia 6-12 tahun dan RM3 untuk golongan warga emas serta OKU.

16. Muzium Diraja Sultan Abu Bakar (Johor)

Mengetengahkan ciri senibina Renaissance, bangunan bersejarah di Malaysia yang dahulunya digunakan sebagai Istana Besar Johor ini siap dibina pada tahun 1866. Pada tahun 1982, bangunan ini telah dipilih untuk dijadikan sebagai Muzium Diraja Johor yang memaparkan gaya hidup keluarga diraja melalui barangan-barangan yang dipamerkan di dalam muzium tersebut seperti barangan perak, perhiasan serta koleksi gambar keluarga diraja sejak pemerintahan Sultan Abu Bakar.

Sehingga kini bangunan ini masih digunakan keluarga Diraja Johor untuk kegunaan majlis-majlis rasmi dan keraian diraja.

Jadi, kepada pencinta sejarah, ini merupakan sebahagian daripada bangunan-bangunan bersejarah yang menarik dan boleh anda kunjungi.

  • Add Your Comment

shares