fbpx

10 Tempat Makan Best di Kota Bharu Yang Anda Patut Cuba

Kebanyakan kawan – kawan saya yang datang Kelantan pasti akan bertanya kat mana tempat makan best di Kota Bharu. Mungkin anda sendiri pernah mengalami situasi ini kan. Teruskan pembacaan, kami akan kongsikan sedikit perkongsian tempat makan best di Kelantan ini.

Tempat Makan Best di Kota Bharu

Jika anda pernah mengikuti sejarah Cik Siti Wan Kembang, anda pasti mengenali sebuah negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan Darul Naim.

Kalau anda sedang mencari jodoh, berkunjunglah ke Kelantan kerana gadis-gadisnya yang sedap mata memandanglah orang kata, tambahan pula Kelantan betul-betul bersempadan dengan Thailand. Ibu negeri Kelantan ialah Kota Bharu.

Tempat Makan Best di Kota Bharu Yang Anda Patut Cuba

Kota Bharu adalah sebuah daerah atau jajahan yang kaya dengan masakan-masakan Kelantan terutamanya nasi kerabu yang merupakan simbol kemegahan negeri Kelantan. Entri kami kali ini adalah berkenaan tempat makan sedap di Kelantan, sedikit perkongsian tentang tempat-tempat makan best di Kota Bharu.

10. Damia Cafe

Damia cafe Kota Bharu

Photo Kredit : nikainaa.blogspot.my

Anda mahu makan sampai pengsan? Anda mahu makanan yang sangat murah? Anda mahu makan pelbagai jenis “steamboat grill”? Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengisi ruang-ruang kosong di Damia Cafe yang terletak di Kota Salor, Kota Bharu.



Damia Cafe merupakan salah satu tempat makan best di Kota Bharu yang menawarkan harga yang sangat berpatutan iaitu hanya RM 20 untuk dewasa dan RM 10 untuk kanak-kanak, warga emas dan orang kelainan upaya.

Kaedah hidangan secara buffet yang diterapkan di sini membolehkan anda makan sehingga kenyang, bak pepatah orang Kelantan “make sapa so’oh, tak kenyang jangan balik”

9. Chicken Grill MiB

Chicken Grill MiB

Kesedapan makanan yang berasaskan “grill” terletak pada sosnya. JIka sedap sosnya, maka sedapnya makanan “grill” tersebut. Anda boleh dapatkan sos yang sedap di Chicken Grill MiB yang terletak di Kedai Buloh, Kota Bharu.

Chicken Grill MiB KB

Kebanyakan pengunjung yang pernah datang ke sini akan meminta sos yang lebih kerana sos lada hitamnya yang dibuat sendiri memang lain dari yang lain. Sos lada hitamnya telah menjadi resepi rahsia zaman-berzaman.

Chicken Grill MiB Kota Bharu Kelantan

Bagi penggemar kambing bakar, di sinilah tempat yang paling tepat untuk anda menghayati keenakkan daging kambing yang dibakar dengan empuk. Restoran yang bermotokan “kepuasan anda merupakan keutamaan kami” ini menghidangkan pelbagai jenis makanan seperti “lamborjiji grill”, “chicken grill burger”, “chicken grill chicken chop” dan bebola daging dengan keju meleleh.

8. Restoran Nasi Ulam Cikgu

Restoran Nasi Ulam Cikgu

Bagi anda yang sudah biasa tinggal di kampung-kampung, ulam-ulaman pasti menjadi salah satu makanan utama anda. Kalau tiada ulam, boleh hilang selera makan anda. Namun begitu, anda tidak perlu risau jika berkunjung ke Kota Bharu kerana di Restoran Nasi Ulam Cikgu anda dapat rasa pelbagai jenis ulam-ulaman yang dimakan bersama nasi, kuah singgang dan budu.

Restoran Nasi Ulam Cikgu Kota Bharu

Restoran Ulam Cikgu terletak di Kampung Kraftangan, Kota Bharu dan ianya mempunyai dua cawangan di Kota Bharu iaitu Taman Orkid Pengkalan Chepa dan RTC Tunjung. Apa yang menarik lagi ialah, restoran ini juga menawarkan khidmat penghantaran ke rumah iaitu untuk pelanggan yang tinggal di kawasan bandar Kota Bharu, Tunjong, Wakaf Che Yeh, Pasir Hor, Kubang Kerian, dan Bunut Payong.

7. Iska Coffee & Cake Centre

Iska coffee & cake centre kubang kerian

Setiap orang mesti teringin rasa sesuatu yang baru, lebih-lebih lagi jika makanan itu nampak menarik dan menyelerakan. Anda pernah dengan “maggi tomyam sotong”? Bagi yang tinggal di Kelantan mungkin sudah biasa dengar dengan maggi ini, tetapi bagi yang tinggal di luar Kelantan pasti ini sesuatu yang baru.

Maggie Tom Yam Sotong Iska coffee & cake centre kubang kerian

Maggi tomyam sotong yang anda boleh dapati di Restoran Iska Coffee & Cake Centre ini akan memberikan kepuasan yang maksima kerana sotongnya yang besar-besar, maggi yang kenyal dan kuah tomyam yang enak. Iska Coffee & Cake Centre juga menyediakan nasi kerabu goreng dengan lauk sotong, udang dan fillet ikan.



Di antara makanan lain yang ada di sini ialah makanan barat, burger dan laksa Penang. Iska Coffee & Cake Centre dibuka mulai pukul 4.00 petang sehingga pukul 1.00 pagi.

6. Mak Su Nab Nasi Air

Mak Su Nab Nasi Air kelantan

Anda mesti biasa dengar moi sup tetapi adakah pernah dengar nasi air? Moi sup dan nasi air adalah makanan yang sama, cuma di Kelantan ianya dipanggil nasi air. Kalau anda ingin elak tercekik ketika makan, nasi air sangat sesuai untuk dijadiakan juadah tidak kira pagi,tengah hari atau malam.

Mak Su Nab Nasi Air Kota Bharu

Photo Kredit : come2kelantan.my

Di Kota Bharu, tempat paling terkenal dengan nasi air ialah Restoran Mak Su Nab Nasi Air. Restoran yang terletak di Berek 12, Kota Bharu ini menyediakan ramuan yang terbaik ketika menghasilkan nasi air seperti, antaranya ialah kuahnya yang mempunyai rasa ayam yang sedap, kuah yang sentiasa panas, ayam yang dicarik-carik halus dan bau daun bawang yang sangat menyengat sehingga menusuk ke hidung.

Restoran ini juga mempunyai nasi ayam yang juga menjadi pilihan orang ramai sebagai juadah di tengah hari.

5. Nasi Kak Wok Lundang

Anda mesti tertanya-tanya siapa itu Kak Wok? Kenapa nasi Kak Wok ini popular? Bagi yang belum pernah menjejakkan kaki di negeri “Red Warrior” pasti menghujahkan soalan-soalan sebegini. Restoran Nasi Kak Wok ini terletak di Jalan Masjid Lundang, Kota Bharu.

Bukan sahaja terkenal sebagai tempat makan best di Kota Bharu, malahan seluruh negara. Restoran Nasi Kak Wok merupakan sebuah restoran yang menghidangkan nasi berlauk ayam goreng atau gulai ayam.



Ianya nampak seperti nasi ayam goreng berempah yang selalu dijual di mana-mana tetapi yang istimewanya nasi Kak Wok ini ialah rasa ayam goreng berempahnya yang sangat sedap dan rasa gulainya yang ditambah sambal yang mempunyai rasa yang tersendiri.

Apa yang menariknya lagi di sini ialah waktu beroperasi yang sangat memudahkan orang-orang yang bekerja kerana ianya dibuka pada pukul 7.30 pagi sehingga pukul 5.00 petang.

4. Warung Pak Mat Pulau Pisang

Warung Pak Mat Pulau Pisang Sup kepala Ikan

Nama warung ini tidaklah menarik dan nampak macam warung biasa sahaja, tetapi bak kata orang putih, “don’t judge a book by its cover”. Ini kerana Warung Pak Mat Pulau Pisang ini terkenal dengan sup kepala ikannya. Nampak menarik bukan? Sup kepala ikan memang jarang dijumpai di mana-mana kedai kerana selalunya kari kepala ikan yang biasa didengari.

Teh madu dan Sup Kepala Ikan Warung Pak Mat Pulau Pisang

Selain sup kepala ikan, di sini ada juga sup bahagian-bahagian ikan yang lain yang murah sedikit berbanding sup kepala ikan. Bukan sahaja sup kepala ikan yang menjadi tarikan di sini malah teh tarik madu juga menjadi pilihan pengunjung di sini.

3. Restoran By T Laksam

Restoran By T Laksam

Kalau di Johor ada laksa Johor, kalau di Pulau Pinang ada laksa Penang dan begitu juga Kelantan ada laksanya tetapi dikenali sebagai laksam. Di Kota Bharu, anda boleh dapatkan laksam yang terbaik di Restoran By T Laksam yang terletak di Kampung Panji, Kota Bharu. Restoran By T Laksam yang telah dibuka sejak 16 tahun yang lepas ini mempunyai satu menu istimewa iaitu “Laksam Special”.

Laksam Restoran By T Laksam

Apa yang istimewanya menu ini? “Laksam Special” Ini berbeza sedikit dengan laksam biasa kerana ada tambahan bahan-bahan penyedap iaitu telur puyuh dan serunding. Walau bagaimanapun, sedap ke tidak laksam itu bukan terletak pada telur puyuh atau serunding tetapi kekuatan laksam terletak pada kuahnya.

2. Restoran Ikan Bakar Kukup

 

Restoran Ikan Bakar Kukup

Kalau dilihat pada namanya memang sebuah restoran ikan bakar tetapi Restoran Ikan Bakar Kukup ini juga menyediakan pelbagai makanan lain seperti nasi ulam, nasi ayam, pulut pauh dan air batu campur.

sedap Restoran Ikan Bakar Kukup

Restoran ini juga menjual pelbagai makanan laut seperti ketam dan udang, ada juga masakan panas dan makanan barat. Dengan kepelbagaian makanan yang ada, restoran ini dapat menarik ramai pengunjung datang ke sini.



Restoran ini dibuka di sebelah pagi pada pukul 10.30 pagi hingga 4.00 petang dan di sebelah malam pada pukul 4.30 petang hingga 2.30 pagi.

1. Lido Corner (Nasi Sup Ayam Bakar)

Lido Corner Sedap di Kota Bharu

Nasi yang dituang sup dan dimakan bersama ayam bakar pasti saangat menyelerakan. Anda boleh dapatkan nasi sup ayam bakar ini di Lido Corner yang terletak betul-betul di dalam pekan Kota Bharu.

Tempat Makan Best di Kota Bharu Lido Corner

Bukan sahaja nasi sup ini dimakan bersama ayam bakar, nasi sup ini juga enak jika dimakan bersama daging bakar, kambing bakar, telur masin dan sayur taugeh. Lido Corner ini selalunya menerima pelanggan yang ramai di waktu tengah hari.

Tunggu Apa lagi, Jom Ke Kelantan dan Singgah Tempat Makan Best di Kota Bharu

Kesimpulannya, jika hendak makanan yang sedap-sedap, anda kenalah rajin untuk mengembara mencari makanan di seluruh negeri di Malaysia khususnya di Kota Bharu, Kelantan. Orang kata luas pemandangan maka luas pengalamannya, begitu juga dengan semakin banyak anda berjalan semakin banyak makanan yang anda dapat rasa.

Nanti kalau dah Sampai Kelantan mencari tempat makan best di Kota Bharu ini dan kalau nak sewa kereta boleh hubungi Kereta Sewa Kota Bharu 0167508833.

shares